Saturday, July 21, 2007

Teluk Intan, Perak Memperolehi Namanya Dari Seorang Wanita Mandailing


Menara Condong atau Jam Tinggi yang dibina pada tahun 1885 merupakan mercu tanda dan simbol Teluk Intan. Pembangunan menara itu diilhamkan oleh bangunan pagoda dari negeri Cina, telah didirikan oleh seorang pemborong bernama Choong Cheong @ Ah Cheong. Asalnya ia adalah sebuah tangki air sebagai persiapan untuk menghadapi musim kemarau dan buat bomba/setoker memadam api kebakaran.

Teluk Intan, Perak Memperolehi Namanya Dari Seorang Wanita Mandailing.
Oleh Abdur-Razzaq Lubis

Teluk Intan adalah sebuah kota/bandar sederhana yang terletak di negeri Perak, Malaysia. Dengan penduduk yang dianggarkan kira-kira 110,000 orang, ia merupakan kota yang terbesar di daerah Hilir Perak, dan yang ketiga besarnya di negeri Perak.

Kota Teluk Intan dibangunkan di tebing Sungai Perak. Sungai itu membentuk semacam galang kuk (oxbow) atau tasik ladam, dan kota itu didirikan pada gelung atau cecincin galang itu. Apabila air pasang, sebahagian kota itu banjir meskipun ada pintu air dan pembetongan.

Dari segi sejarah, Teluk Intan dikenali dengan nama Teluk Mak Intan atau Pekan Mak Intan, mengambil namanya dari seorang wanita bangsawan dan hartawan Mandailing. Ini bererti Mak Intan adalah anggota keluarga (Namora-Natoras, Yang Dimuliakan [dan] Yang Dituakan). Oleh yang demikian, boleh diterima akal bahawa Mak Intan menjadi penaung kelompok pedagang di Teluk Intan.

Keberadaan Teluk Mak Intan telah tercatat pada penghujung abad ke-19. Cerita lisan menuturkan bahawa Teluk Mak Intan menyusuli keberadaan Batak Rabit dan Durian Sebatang. Lokasi Teluk Mak Intan adalah di mana bangunan Balai Polis lama sekarang dan kawasan di sekitarnya.

Mengenai asal-usul nama Teluk Mak Intan, cerita lisan mengungkapkan bahawa pada suatu hari Mak Intan dengan beberapa kawan-kawannya sedang mandi-manda dan bersukaria di teluk Sungai Perak, dengan tidak semena-mena pacak intan pemberian orang tuanya, yang dipakai disanggulnya, terjatuh dan hilang di dalam sungai itu. Oleh kerana peristiwa itu disebut-sebut orang belakangan hari bahagian teluk di mana Mak Intan kehilangan pacak intanya sebagai Teluk Mak Intan.

Berbanding dengan Durian Sebatang atau Batak Rabit di tebing Sungai Perak, kedudukan Teluk Mak Intan, yang bebas dari ancaman banjir sementara tebing sungainya yang kuat dan air teluknya dalam, menjadikan Teluk Mak Intan sesuai dijadikan pengkalan sungai dan pusat perdagangan. Tambahan pula kawasan pendalamannya subur untuk tanaman ubi, jagung, pisang dan sebagainya.

Makanya tidak hairanlah mengapa ia juga dikenali sebagai Pekan Mak Intan kerana di sinilah tertumpunya perantau dan pedagang baik dari Nusantara mahupun dari tempat-tempat lain di dunia, yang mahu masuk ke pedalaman negeri Perak untuk memperolehi bijih timah khasnya.

Perantau dan pedagang Sumatra dari etnik Batak, Batu Bara, Kampar, Kerinci, Mandailing dan Selayang serta Bugis dari pulau Sulawesi, masuk ke mudik ke Batu Gajah di Lembah Kinta, di pendalaman Perak, melalui Teluk Mak Intan.

“Mereka datang menaiki sampan atau sekoci, perahu dan lading melalui muara Sungai Perak menuju teras ke sungai Kinta membawa barangan keperluan pelombong [penambang] dan penduduk kampung. Perjalanan dari Teluk Anson (Teluk Intan) ke Batu Gajah [pemukiman di Lembah Kinta] biasanya memakan masa empat hingga lima hari.”

Pada zaman pemerintahan kerajaan negeri Perak di bawah tajaan British, Residen British yang ketiga di negeri itu, Hugh Low, telah mengarahkan supaya

“a plan of such a town as might be built in Teluk Malunting. [Teluk Mak Intan]. I [Hugh Low] would then propose that all the Chinese who have built on the point at During Sebatang should be bound to remove to the more favourable place… I would insist on this. The Cusoms house, the court house, landing jetty and chief police station should be put there at once. I will send the plan and write on the subject to Singapore [di mana pejabat/kantor Gabenur British] as soon as I can…”

Jelaslah kelebihan geografi Teluk Mak Intan berbanding dengan lokasi lain di Hilir Perak untuk didirikan sebuah pusat pentadbiran/administratif baru di jajahan itu. Saranan Hugh Low itu bukan sahaja diterima baik oleh pemangku Gabenor Negeri-Negeri Selat (pada masa itu belum diwujudkan lagi Negeri-Negeri Melayu Bersekutu), Col. Archibald Anson (1879-1880), malah Gabenor itu telah melukis pelan untuk pusat pentadbiran tersebut.

Maka pada mesyuarat/rapat Majlis Negeri pada 15 Mac/Maret 1882, Hugh Low mengusulkan supaya

“…the new Settlement at Telok Ma’ Hitam [Teluk Mak Intan]… be known as ‘Telok Anson’, in compliment to General Anson, who drew the first plan of the town and took great interest in its removal from Durian Sebatang. The name Telok Ma’ Hitam has also been found inconveniently long.”

Dengan penerimaan usul itu oleh Majlis Mesyuarat Negeri Perak, nama Telok Mak Intan bertukar menjadi Telok Anson (Cina: 安顺; Pinyin: Ānshùn).

Seratus tahun kemudian pada perayaan ulang tahun keseratus kota Telok Intan pada 1982, Sultan Perak telah menukar kembali nama Telok Anson menjadi Telok Intan. Hari ini, Teluk Intan merupakan pusat administratif dan bisnes yang utama untuk pekan-pekan [pokan] kecil seperti Tapah, Bidor, Bagan Datoh dan Hutan Melintang. Pusat pentadbiran daerah Hilir Perak itu mempunyai beberapa buah bangunan kolonial dan rumah kedai/ruko Cina dengan bangunan modern and kompleks membeli-belah/daerah pertokoan/pusat berbelanja and institusi pendidikan. Kerana ia merupakan kota tersohor di Hilir Perak, Teluk Intan menarik pengunjung dan pembeli-belah dari kawasan seputarnya. Berbelanja dan menjamu selera mendatangkan banyak orang ke Teluk Intan pada hujung minggu.

Aktiviti ekonomi utama sekeliling Teluk Intan di Hilir Perak hari ini ialah perkebunan kelapa sawit dan pengeluaran minyak kelapa sawit. Perbadanan yang memiliki perkebunan-perkebunan besar di kawasan sekitar Teluk Intan termasuklah United Plantations (UP), Golden Hope Plantations, Sime Darby dan Kumpulan Guthrie Berhad.

No comments:

Post a Comment